Press Release

TPM BAKAR SEMANGAT SKUAD MALAYSIA

6

Feb

Share on

Pasukan Malaysia menerima suntikan semangat daripada YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjelang Kejohanan Berpasukan Asia yang akan berlangsung di Manila 11 Februari ini.

“Terima kasih dan tahniah kerana anda menggalas tugas sebagai duta kecil Negara dan dalam hal ini anda membawa nama Negara bertanding di peringkat Asia.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dan pastikan bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan buat sehabis baik.

“Saya berharap anda semua menjaga keselamatan dan kesihatan anda sehabis baik berikutan penularan Koronavirus ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa bertemu barisan pemain dan jurulatih di pejabat Kementerian Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Keluarga, Putrajaya pagi tadi.

Delegasi BAM diketuai oleh Presiden, YH Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria dan diiringi Setiausaha Agung, YH Dato’ Kenny Goh Chee Keong serta barisan kepimpinan persatuan.

Skuad lelaki negara diundi dalam Kumpulan C bersama Taiwan dan Singapura manakala skuad wanita dalam Kumpulan W yang turut dibarisi Jepun dan Hong Kong.