UCAPAN TAKZIAH ATAS PEMERGIAN ALLAHYARHAM TAN SRI ELYAS OMAR

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar, 82, yang telah kembali ke rahmatullah di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi kesihatan, malam tadi.

Allahyarham yang juga merupakan bekas Datuk Bandar ketiga Kuala Lumpur telah menerajui badan induk badminton negara selama 8 tahun bermula pada 1985 dan memimpin skuad kebangsaan menempa nama di peringkat dunia dengan menjulang Piala Thomas pada tahun 1992.

Beliau turut berperanan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur dan telah membantu pasukan warga kota menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali berturut-turut dari tahun 1987 hingga 1989.  

“Salam takziah kepada keluarga bekas Presiden BAM, Tan Sri Elyas Omar. Sumbangan serta legasi Allahyarham kepada sukan negara, terutamanya badminton akan sentiasa dikenang dan dihargai. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat negara. Semoga rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman,” kata Presiden BAM, Dato’ Sri Norza Zakaria.

Allahyarham akan terus dikenang sebagai tokoh sukan negara yang telah banyak menabur bakti kepada tanah air.

Al-Fatihah.

Partners