KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN BERANGKAT MERAIKAN SKUAD BADMINTON NEGARA

6

Apr

Share on

Adalah dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj berkenan mencemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja bersama Pasukan Badminton Malaysia di Istana Negara, hari ini.

Majlis ini, yang berlangsung selama satu jam bermula pada jam 4.00 petang, dianjurkan atas perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk meraikan pasukan dan pemain badminton kebangsaan yang telah berjaya mengharumkan nama negara dalam pertandingan badminton antarabangsa baru-baru ini.

Seri Paduka Baginda, yang mempunyai kecenderungan tinggi di dalam bidang sukan, berkenan menzahirkan penghargaan Baginda kepada barisan kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), para jurulatih dan pasukan badminton negara di atas komitmen, pengorbanan serta pencapaian di persada antarabangsa.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar kejayaan yang telah dicapai akan menjadi pemangkin kepada pasukan badminton Malaysia untuk terus bekerja keras dan cemerlang di masa hadapan demi keunggulan para pemain kebangsaan sendiri, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat dunia.

Hadir sama pada majlis ini ialah Menteri Belia dan Sukan YB Dato' Sri Reezal Merican bin Naina Merican, Presiden BAM YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza bin Zakaria dan para pegawai BAM.

Antara pemain kebangsaan yang hadir ialah juara Seluruh England 2021, Lee Zii Jia dan pasangan beregu wanita, Pearly Tan dan M Thinaah yang telah menjuarai Terbuka Swiss 2021.

Pada majlis ini juga, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima persembahan raket digunakan Zii Jia sewaktu perlawanan akhir Seluruh England menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen.

Seri Paduka Baginda berkenan menyaksikan pingat yang dimenangi Zii Jia serta bulu tangkis pada perlawanan akhir itu dan plak gelaran Terbuka Swiss dimenangi pasangan beregu wanita negara Pearly-Thinnah.

Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima persembahan taklimat oleh Dato' Sri Reezal Merican mengenai perkembangan semasa sukan negara, termasuk sukan badminton.

Dato’ Sri Reezal Merican menyifatkan Seri Paduka Baginda sebagai peneraju sukan tanah air yang sentiasa mengikuti dan memahami perkembangan sukan serta pergorbanan atlet yang berjuang untuk mengharumkan nama negara.

Menurut Dato’ Sri Reezal Merican, perkenan Seri Paduka Baginda berangkat ke majlis hari ini juga mencerminkan keprihatinan tinggi Baginda terhadap perkembangan sukan dan atlet badminton, khususnya.

Manakala, Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza, mewakili BAM dan seluruh komuniti badminton negara, merakamkan rasa syukur dan terharu di atas keprihatinan dan sokongan padu Seri Paduka Baginda kepada sukan badminton dan pasukan badminton negara. Penghargaan tinggi Seri Paduka Baginda berdua ini sudah pasti menjadi azimat berharga buat semua atlet, jurulatih dan pihak BAM untuk menggandakan usaha terutamanya dalam melakar kejayaan demi mengharumkan nama negara di persada dunia.

Majlis ini merupakan yang julung kali Seri Paduka Baginda berdua berkenan meraikan kejayaan atlet-atlet negara di Istana Negara.

Terdahulu, pada 11 Oktober, 2019, Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan meraikan pasukan hoki lelaki negara di Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara sebagai suntikan semangat bagi pemburuan slot untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik 2020 di Jepun, Tokyo.