Press Release

KENYATAAN DATUK SERI ZOLKPLES TIDAK BERTANGGUNGJAWAB DAN TIDAK ADIL KEPADA PEMENANG PINGAT EMAS BADMINTON SUKAN SEA 2019

12

Dec

Share on

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ingin melahirkan rasa kesal dan sedih terhadap kenyataan menyentuh prestasi skuad badminton kebangsaan di Sukan SEA yang telah dikeluarkan oleh Datuk Seri Zolkples Embong bertajuk ‘Surat Terbuka kepada Menteri Belia dan Sukan’.

Sebagai mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat umum dan menyeluruh kerana ia sama sekali satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak adil kepada pemenang-pemenang pingat emas badminton Sukan SEA Filipina yang rata-ratanya berusia 21 tahun. 

Kenyataan yang dikeluarkan seperti ini sama sekali tidak akan membantu situasi. Malah ia menjatuhkan semangat para pemain. Beliau seharusnya melihat dari perspektif yang lebih positif, di mana pada usia yang muda, pemain-pemain ini telah berjaya mengharumkan nama negara. Mereka ini memerlukan sokongan serta galakan dari semua pihak untuk melangkah lebih jauh lagi. 

Beliau yang juga mantan Setiausaha Kehormat BAM pastinya menyedari bahawa ketiadaan pemain-pemain ‘ternama’ yang bertanding di temasya sukan dwi tahunan ini juga adalah keputusan persatuan badminton negara masing-masing dan di luar bidang kuasa BAM. Jesteru, pingat emas yang telah dimenangi oleh wira-wira muda ini tidak harus diperlekehkan.

Akhir kata, pihak BAM berharap agar Datuk Seri Zolkples yang juga berpengalaman luas dalam pembangunan sukan negara dapat bersikap positif dan memberikan sokongan dalam usaha untuk membentuk skuad kebangsaan yang mantap dibarisi pemain-pemain muda dan tidak menggunakan mereka sebagai bahan untuk meluahkan perasaan sakit hati beliau terhadap pihak tertentu.