17
Jul
Share on
Jaguh bergu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobat sebagai penerima bagi Anugerah Olahragawan Kebangsaan 2022 di Majlis Anugerah Sukan Negara hari ini.
Kejayaan Aaron-Wooi Yik muncul juara di Kejuaraan Dunia pada Ogos tahun lalu di Tokyo, menyaksikan bergu ranking ke empat dunia ketika ini menewaskan empat lagi finalis bagi kategori Olahragawan Kebangsaan.
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria nyata berbangga dengan pencapaian yang diraih Aaron dan Wooi Yik.
“Aaron-Wooi Yik layak untuk menerima anugerah ini kerana menjadi wakil Negara pertama memenangi gelaran Juara Dunia.
“Saya mengucapkan tahniah di atas kejayaan mereka malam ini. Kerja keras dan pengorbanan serta tabah mengharungi kesukaran selain percaya dengan apa yang dilakukan antara kunci kepada kejayaan yang dikecapi dan menjadi satu legasi dalam arena sukan di Malaysia.
“Kami berharap kejayaan yang bersejarah yang ditempa oleh Aaron dan Wooi Yik ini akan memberi inspirasi kepada atlet muda untuk menjadi juara di pentas dunia dan Olimpik kelak,” katanya.
Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi pasangan bergu ketiga memenangi anugerah Olahragawan
Terbaik selepas Koo Kien Keat – Tan Boon Heong pada 2007 dan Cheah Soon Kit - Yap Kim Hock pada 1997.
Sementara itu, pasangan bergu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah pula dipilih sebagai pemenang anugerah Pasukan Wanita Kebangsaan 2022.
Kejayaan muncul juara di Terbuka Perancis pada Oktober lalu serta meraih pingat emas di sukan Komanwel di Birmingham pada Ogos antara faktor yang meletakkan bergu wanita ranking ke 12 dunia ketika ini dipilih untuk memenangi kategori Pasukan Wanita Kebangsaan 2022.
“Pearly dan Thinaah juga menunjukkan peningkatan yang positif sepanjang 2022 dan saya yakin masih banyak lagi yang mahu mereka capai selepas ini. Saya berharap penghargaan yang mereka terima akan menaikkan lagi semangat juang untuk terus maju dan merealisasikan impian untuk menggapai kejayaan di pentas dunia dan Olimpik,” kata Norza lagi.