27
Aug
Share on
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Sukan pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2022.
“Tan Sri Mohamad Norza menunjukkan ketegasan yang jelas terhadap isu-isu berkaitan pentadbiran dan pengurusan badan sukan kebangsaan. Bakat kepimpinan yang dimiliki beliau tidak dapat disangkal lagi.
“Kami berharap dengan anugerah ini, akan memberikan motivasi kepada Tan Sri Mohamad Norza untuk terus berusaha memartabatkan badan sukan di negara ini,” kata Naib Presiden SAM, Hazreen Mubarak.
Tan Sri Norza menggalas jawatan Presiden BAM bermula 2017 menggantikan Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.
Sepanjang memimpin BAM, Malaysia meraih pelbagai kejayaan bermakna di pentas antarabangsa antaranya pencapaian bersejarah beregu lelaki utama Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menjadi wakil negara pertama menjuarai Kejohanan Dunia pada tahun lepas.
Pada masa sama, inisiatif beliau memperkenalkan indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) serta penilaian berdasarkan merit ke atas pemain senior menyaksikan kemunculan bakat baharu seperti pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Aaron-Wooi Yik dan pasangan beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah.

Sepanjang memegang kerusi nombor satu badan induk badminton negara, Tan Sri Norza berjaya menambat hati syarikat-syarikat gergasi dan terkemuka di Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada keluarga BAM malah kerjasama dengan luar negara turut terjalin sehingga kini untuk memacu arena badminton negara bertaraf profesional dan global.
Pada 2018, beliau dilantik Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menggantikan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar dan turut memegang jawatan Presiden Majlis Sukan Komanwel Malaysia serta pernah menggalas jawatan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN). Beliau turut menjawat jawatan Presiden Persatuan Polo Diraja Malaysia dan Presiden Kelab Polo Putra.
Tokoh sukan itu juga mengetuai kontinjen Malaysia membawa pulang 62 pingat emas Sukan SEA 2015 di Singapura, iaitu pencapaian terbesar Malaysia dalam temasya dwitahunan itu di luar Malaysia.
Menerajui MOM, Tan Sri Mohamad Norza memperkenalkan pelbagai inisiatif antaranya kriteria pemilihan MOM yang telus untuk atlet ke temasya sukan, penjanaan semula Suruhanjaya Atlet MOM (AC) termasuk pemberian geran dan penyertaan wakil AC dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, menyemak dan merombak perlembagaan MOM serta penciptaan pangkalan data komprehensif mengandungi maklumat atlet dan pegawai yang telah menyertai temasya sukan.
Kepimpinan Tan Sri Mohamad Norza tidak terhad di peringkat kebangsaan sahaja, malah turut membuka mata ‘pihak luar’ apabila diangkat sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sukan untuk semua Majlis Olimpik Asia (OCA) selain dipilih sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia (BAC) dan kedua dua jawatan itu bagi penggal 2023 hingga 2027
Ia satu penghargaan buat BAM memandangkan Tan Sri Mohamad Norza menjadi individu pertama dari Malaysia untuk mengisi kerusi tersebut dan dia akan melaksanakan tugas itu sehingga 2027.
Pelantikan Tan Sri Mohamad Norza sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia juga berdasarkan pengalaman yang dimiliki dalam urus tadbir persatuan badminton, Fasal 13.2 yang mempunyai pengetahuan selain mencapai status tertentu supaya mampu memberikan sokongan dan impak positif kepada badan induk badminton Asia.